Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim
bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat.
Tolong berikan aku nasihat.”
Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim
berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka
bolehlah kamu melakukan maksiat.”
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya,
“Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”
Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika
kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.”
Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya
berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki
Allah?”
“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah
memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan
melanggar larangan-Nya?”
“Yang kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat,
jangan tinggal di bumi-Nya!”
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah
mati.
Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah,
fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya,
sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”
“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.
Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim
menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang
tidak dapat terlihat oleh-Nya!”
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai
Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”
“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih
berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang
keempat. Ibrahim melanjutkan,“Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu,
katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan
melakukan amal soleh.”
Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera
tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi
permintaanku?”
“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa
kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana
engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”
“Baiklah, apa syarat yang kelima?”
Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat
Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan
engkau ikut bersamanya.”
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia
berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku
menolak kehendaknya.”
Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim.
Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah.” Katanya
sambil teresak-esak.
Post a Comment